Tuesday, 12 July 2011

Misi dan Visi Sekolah

VISI
Sekolah Kebangsaan St Patrick Tangga
Cemerlang Di Daerah Serian Menjelang 2010


MISI
Untuk menjadi Sekolah cemerlang di daerah Serian,
warga sekolah akan berusaha :

1.      Memastikan pencapaian akademik sentiasa cemerlang.
2.      Memastikan sahsiah dan disiplin pelajar sentiasa terpuji.
3.      Melibatkan semua pelajar dalam aktiviti kokurikulum.
4.      Mewujudkan keadaan persekitaran yang ceria dan kondusif.


SLOGAN
GEMILANG ST. PATRICK TANGGA

Pelan SK St. Patrick Tangga Serian

Selamat datang ke laman blog SK St. Patrick Tangga..........
Sekolah ini telah dibina dalam tahun 1962 yang terletak di Parun Mabuh Pulau Tamba iaitu di suatu kawasan antara Kampung Riih dan Kampung Tangga, Serian secara bergotong-royong.
Pada permulaan pembinaannya hanya 4 buah pondok kecil dibina sebagai kelas dan sekolah ini diberi nama Sekolah Saint Patrick Tangga Riih. Bilangan pelajar dianggarkan berjumlah 40 orang yang terdiri daripada murid-murid Kampung Tangga dan Kampung Riih. Pada masa itu sekolah ini ditadbir oleh Cikgu Henry Manju selaku Guru Besar dan dibantu oleh 3 orang guru iaitu Cikgu Stephen Yong Ted Shin, Cikgu Joseph Munjan dan Cikgu Cecilia Siti Enchana. Pengurusan dan pentadbiran sekolah adalah di bawah seliaan Majlis Daerah Ulu Sadong (MDUS) dan juga Serian Parish Council.

Memandangkan banyak halangan yang terpaksa dilalui oleh penduduk-penduduk kampung disebabkan jarak sekolah agak jauh dan tidak ada kemudahan pengangkutan awam maka pada masa itu maka dicadangkan sekolah itu dipindahkan ke tapak yang baru. Pada tahun 1966 pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah bersetuju berpindah ke lokasi yang baru iaitu di padang Kajuh Para Torok. Di sini dibina 4 buah bilik kelas secara bergotong-royong dengan berdindingkan buluh dan beratapkan daun nipah. Selain daripada itu 2 buah pondok juga dibina untuk dijadikan tempat kediaman guru. Guru Besar yang bertanggungjawab mentadbir sekolah masih lagi Cikgu Henry Manju dan bantu oleh 4 orang guru yang lain. Bilangan pelajar pun bertambah kepada lebih kurang 70 orang.

Pada awal tahun 70an, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dengan kerjasama Serian Parish Council telah membina sebuah bangunan baru bagi menampung keperluan murid yang kian bertambah. Sebanyak 5 buah bilik darjah dan 2 unit rumah guru telah dibina di samping sebuah bekas bangunan gereja yang didermakan oleh Serian Parish Council telah dijadikan sebuah bilik darjah tambahan. Guru Besar pada ketika itu ialah Cikgu Philip Lanat dan dibantu oleh 6 orang guru. Enrolmen pelajar mencecah kepada 100 orang murid. Setelah Cikgu Philip Lanat bersara pada awal tahun 1982, Cikgu Andrew Munot mengambil alih tanggungjawab sebagai Guru Besar sehingga tahun 2003. Bilangan pelajar bertambah kepada 191 orang dan tenaga pengajar adalah seramai 12 orang serta 2 orang kakitangan sokongan bukan guru ditugaskan di sekolah ini.

Bak kata pepatah malang tidak berbau, begitulah peristiwa yang telah menimpa sekolah ini apabila hampir semua  bangunan musnah akibat tanah runtuh. Peristiwa malang ini terjadi pada awal pagi tanggal 3 Februari 2003. Tiga buah bilik darjah ranap sama sekali dan kawasan sekolah ini disahkan oleh Jabatan Kerja Raya tidak selamat diduduki. Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak mencadangkan agar pentadbiran dan murid sekolah menumpang sementara di SK St.Teresa, Serian untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran.

Jawatankuasa Bencana Alam SK St. Patrick Tangga,Serian telah ditubuhkan untuk mendapatkan peruntukan bagi pembinaan bangunan sekolah yang baru. Yang Berhormat Datuk Michael Manyin anak Jawong dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak  telah memohon bantuan khas kepada Kementerian Pelajaran Malaysia bagi tujuan tersebut. Pada 13 April 2003 Kementerian Pelajaran Malaysia telah meluluskan bantuan berjumlah RM278,802.14 untuk disalurkan kepada Akaun Tabung Bencana Alam SK St. Patrick Tangga, Serian.
Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan semula bangunan sekolah yang baru telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Michael Manyin anak Jawong pada 21 Jun 2003. Syarikat Kejuruteraan JANJE Sdn.Bhd. telah diberikan tender untuk membina semula bangunan tersebut yang terdiri daripada 6 buah bilik darjah, 1 buah pusat sumber, 1 buah bilik guru, 1 blok pentadbiran dan 5 unit tandas. Kerja-kerja pembinaan bangunan baru sekolah ini telah disiapkan dalam tempoh masa tidak sampai 3 bulan. Acara Penyerahan Kunci (handing over) kepada pihak sekolah telah disempurnakan pada 2 September 2003 dan disaksikan oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak.

Setelah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, maka murid-murid Tahun 6 telah menggunakan bangunan baru itu untuk menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 15 hingga 18 September 2003.

Bangunan baru sekolah SK St. Patrick Tangga, Serian telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Michael Manyin anak Jawong, Menteri Perumahan Negeri Sarawak pada 17 Oktober 2003.

Pada bulan Disember 2003, Guru Besar Cikgu Andrew Munot telah ditukarkan ke SK St. Dominic Pichin dan tugas Guru Besar telah diambil alih oleh Cikgu Lawen @  Lawin anak Katat dan dibantu oleh 12 orang guru.

Dalam tahun 2007, satu lagi projek pembangunan telah dilaksanakan iaitu Kelas Prasekolah telah berjaya dibina secara bergotong royong. Pengambilan pertama murid-murid Prasekolah telah dimulakan pada tahun 2008. Kini sekolah ini mempunyai 15 orang guru dan  3 orang kakitangan sokongan.